SUKAU 12 Okt 2017 :
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul
Rahman mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Am supaya menyediakan statistik
lengkap berhubung kedudukan golongan Orang kelainan Upaya (OKU), termiskin
serta individu tertentu di sini agar memudahkan tumpuan khusus dan pembelaan
terhadap mereka.
Beliau berkata, statistik itu bukan saja memberi maklumat
berkaitan jumlah dan kedudukan anggota golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), tetapi dari kalangan orang-orang tua, balu,
anak-anak yatim piatu, diikuti mereka dari kalangan keluarga daif serta secara
tiba-tiba mengalami kemiskinan mengejut akibat kehilangan pekerjaan, menjadi
mangsa kebakaran dan malapetaka.
“ Saya mengharapkan
maklumat lengkap berhubung statistik seperti ini sejak mula menjadi wakil
rakyat (10 tahun lalu). Tetapi apabila jawatankuasa Makmal Kebajikan yang kami
tubuhkan cuba mendapatkannya dari jabatan ini, maklumat seperti ini belum
disediakan,” katanya.
Saddi menyatakan
demikian ketika merasmikan Majlis Kempen Pendaftaran OKU anjuran Jabatan
Kebajikan Am Masyarakat Peringkat Dun Sukau di Pekan Sukau di sini pagi Sabtu.
Saddi berkata,
maklumat tersebut amat penting bukan saja membolehkan pihaknya melakukan
sebarang perhatian serta tinjauan susulan ke atas nasib yang ditanggung oleh
semua golongan tersebut, tetapi membolehkannya melakukan ikhtiar yang lebih
untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.
Saddi berkata, semua
golongan OKU dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan itu tidak harus diabaikan,
atau hanya diberi layanan dan menerima bantuan ‘sekadar mampu’, kerana mereka
juga diberi tanggungjawab untuk memilih dan mengekalkan kerajaan dalam setiap
pilihanraya Umum.
Saddi berkata, golongan
OKU juga mempunyai pelbagai ketegori untuk diberikan bantuan serta peluang yang
lebih, berasaskan potensi dan bakat yang
ada pada mereka. Ini termasuk menjadi ahli sukan yang ketika ini diberikan
peranan oleh pihak Kerajaan BN.
“ Tetapi jumlah,
kedudukan serta nasib golongan ini tidak akan diketahui jika pelbagai pihak
khususnya, Jabatan Kebajikan belum berupaya memberikan senarai dan kedudukan
lengkap ini.
“ Saya gembira walaupun
terlambat program pendaftaran seperti ini dapat dilaksanakan dan pihak saya
mengharapkan agar maklumat berhubung golongan OKU di kawasan Dun Sukau dapat
diberikan kepada kami, “ katanya.
Turut hadir pada
majlis itu ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinabatangan,
Ruhaniah Abbas, Penolong Pengarah jabatan itu, Encik Kasrin Atchil, Pegawai Jabatan Kesihatan Daerah, Dr. Firdaus
Abdullah, Pengarah Hospital Daerah Kinabatangan, Dr. Mohd Fahmie Othman, PPM
Sukau, Amirudin Mohd Damit dan Ketua Anak Negeri Sukau, Awang Ahmad Hj. Ongkang
dan KAN Abdul Said.
Dalam program
pendaftaran dibuat di sini semalam, hanya 20 orang berjaya didaftarkan dengan 4
darinya adalah mewakili golongan OKU kekal. Ini menjadikan jumlah OKU terdaftar
di kawasan Dun Sukau setakat ini 176 orang.
Saddi yang juga
Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Negeri Sabah mahu aktiviti
pendaftaran OKU seumpama itu terus kerap diadakan bagi membolehkan golongan itu
serta mana-mana pihak yang mendapat perhatian jabatan berkenaan terus
mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak.
“ Saya
menyarankan agar program seperti ini diperluaskan hebahannya bagi membolehkan
pihak terlibat dapat membuat pendaftaran seterusnya mendapat perhatian
kerajaan.
“ Seperti hari
ini, golongan OKU daripada kawasan yang jauh seperti dari Mukim Litang tidak
dilibatkan...sedangkan memang ada anggota masyarakatnya yang memerlukan bantuan
jabatan ini,” katanya.
Saddi juga
menggesa agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kawasan itu tidak menghentikan
bayaran bantuan ke atas individu penerima yang masih memerlukannya, dengan
alasan-alasan yang kurang wajar seperti memiliki anak yang sudah bekerja dan
sebagainya.
Kata Saddi,
ramai pemohon di kawasan itu mengemukakan aduan kepadanya dengan mendakwa
keputusan menghentikan bantuan ke atas mereka tiba-tiba, adalah kerana kehendak peribadi pegawai
jabatan itu semata-mata.
“ Saya berharap
selagi kerajaan dapat memberikan bantuan ke atas mereka yang masih memerlukan,
ia harus diteruskan demi kebaikan rakyat yang memerlukan pembelaan kerajaan
dipilih oleh mereka,” katanya.