Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

ADUN Sukau keluar UMNO, BN.



KOTA KINABALU 1 Ogos 2018 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, hari ini mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi ADUN Bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media petang ini, Saddi berkata, beliau mahu menjadi ADUN pembangkang bebas yang membina dan menjadi penimbang tara sesuai dengan suasana politik masa kini.
"Saya menyokong mana-mana parti politik berasaskan parti tempatan yang memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta tuntutan royalti minyak dan gas yang adil kepada Sabah untuk kesejahteraan rakyat yang sebelum ini terlepas pandang dan diselindungkan Kerajaan Persekutuan.
"Saya ucap terima kasih kepada pemimpin tertinggi parti khususnya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Tan Sri Musa Aman atas peluang diberi untuk mencurah bakti kepada rakyat di DUN Sukau sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hingga hari ini," katanya.
Pada PRU-14 9 Mei lalu, Saddi yang bertanding atas tiket BN mempertahankan kerusi DUN Sukau dengan majoriti 1,628 undi selepas memperoleh 4,660 undi mengalahkan tiga calon lain dan perkembangan terbaru itu menjadikan wakil BN yang kini hanya diwakili ADUN UMNO dalam DUN Sabah berbaki 10 orang.
Secara keseluruhan, kini ada 20 wakil rakyat pembangkang dalam DUN Sabah ketika ini termasuk enam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), dua daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selain dua ADUN Bebas iaitu masing-masing satu bekas ahli Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang menyokong pembangkang.
Sementara itu, Saddi berpendirian kekal neutral sebagai calon Bebas yang tidak menyokong mana-mana pihak dalam DUN Sabah.