Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Kewibawaan BN terbukti dalam merealisasikan tanggungjawab membela nasib rakyat - Saddi


Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan,  Komponen Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang tidak ada ‘tolok bandingnya’ dalam soal merealisasikan tanggungjawab dan pembelaan,   dengan mengutamakan  soal keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Saddi berkata, kerajaan terbukti tidak sedikitpun mengenepikan sebarang keperluan serta tuntutan rakyatnya, walaupun terpaksa berdepan ancaman dan bahaya,  demi mempastikan  keharmonian serta kemajuan negara terus terjamin.

“ Saya berani mengatakan kerajaan BN tidak ada tolok banding. Kemajuan serta faedah yang dikecapi sehingga hari ini tidak akan mampu dinikmati sekiranya pembangkang mengambilalih teraju pemerintahan negara,” katanya.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK. Kampung Paris 1 di dalam kawasan Dun Sukau, Saddi menegaskan,  usaha padu kerajaan menangani krisis kemasukan Kumpulan Pencoroboh dari negara jiran di Kampung Tondou Lahad Datu sehingga kini, membuktikan kesungguhan kerajaan terhadap isu keselamatan rakyat itu.

“ Kita amat berasa yakin terhadap situasi yang ada sekarang kerana kerajaan BN sudah teruji mampu menangani isu-isu keselamatan seperti ini.

“ Malah kita mengucapkan takziah dan amat terhutang budi terhadap pengorbanan Allahyarham Insp. Zulkifli Mamat dan Sarjan Saharudin Daud yang sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanahair dari ancaman musuh negara.

“Nama mereka akan terus tercatat dalam liputan sejarah dan mereka akan terus menjadi sumber inspirasi pengorbanan pasukan keselamatan dan rakyat Sabah,” katanya.

Sewaktu memulakan ucapannya, Saddi mengajak para pemimpin dan anggota PIBG SK Paris berdiri untuk membacakan Surah Al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada para anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam menghadapi krisis pencerobohan di Tandou Lahad Datu.

Saddi juga mengajak rakyat agar  terus memberikan keyakinan yang tinggi terhadap peranan dan usaha pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan dan kententeraman rakyat di negara ini, khususnya di Sabah.

“ Kalau saya katakan bahawa pasukan keselamatan ini sebenarnya cukup beramanah, pujian itu masih kurang. Tetapi mereka ini sudah terbukti berani berkorban untuk mempertaruhkan nyawa, demi kedaulatan negara dan rakyat,” katanya.

Saddi kemudian mengulangi seranan agar semua anggota PIBG termasuk para guru dan pelajar meningkatkan daya kreativiti dan berinovasi dalam menjayakan misi pembangunan ilmu dan pendidikan rakyat di kawasan itu.

Katanya, dengan pendekatan mantap pihak PIBG terhadap usaha mengatasi kelemahan  infrastruktur pendidikan serta bidang pelajaran tertentu di sekolah itu, usaha meraih lebih ramai pelajar mencapai keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat direalisasikan.

Saddi berpendapat, antara usaha penting yang perlu dilakukan oleh badan PIBG itu yang memantapkan hubungan serta persefahaman akrab di antara para guru dan murid, serta ibubapa di sekolah berkenaan.

Sambil sokongan sedemikian, kata Saddi, dapat membolehkan negara melaksanakan dasar pendidikan baru negara yang sudah digariskan di bawah bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ia  bagi membolehkan semua pihak dapat ‘menjiwai’ aspirasi dan cita-cita  untuk menguasai kejayaan di bidang pembelajaran dan ilmu di sekolah berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi PIBG Sekolah tersebtut, Ardin Suradi dan Guru Besarnya, Puan Junainah Lo.