Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Bangunan baharu SMK Sukau dan asrama bernilai 48 juta bakal dibina tidak lama lagi

YB Datuk Saddi Abdul Rahman berucap merasmikan upacara tersebut
Antara ibubapa pelajar yang hadir 
Antara pelajar yang menerima wang bantuan persekolahan sumbangan dari pada kerajaan BN
Saddi sempat berbual dengan salah seorang penerima wang bantuan persekolahan RM100
Saddi sempat meninjau keadaan asrama SMK yang dalam keadaan daif

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman melihat tiada kekangan untuk Kementerian Pelajaran mempercepat pembinaan bangunan baru termasuk asrama bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sukau.

Katanya, sebelum ini pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan masalah pemilikan tanah.

“Bagaimanapun, masalah itu kini telahpun selesai. Oleh itu, saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan dalam tahun ini juga, apatah lagi peruntukan bernilai RM48 juta untuk projek itu telahpun diluluskan kerajaan persekutuan.

“Bagi saya, tiada alasan lagi untuk melengah-melengahkan pembinaan prasarana itu kerana keperluan para pelajar amat mendesak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan Wang Bantuan Persekolahan RM100 di SMK Sukau dekat sini, kelmarin.

Beliau yang turut melawat bilik asrama di sekolah itu turut melahirkan rasa kesal kerana kekurangan dan kedaifan dari aspek kemudahan yang tidak sepatutnya dinikmati oleh para pelajar.

Seramai 88 pelajar lelaki dan perempuan di sekolah itu tinggal di dua blok asrama yang terhad dari aspek ruang selain kekurangan kemudahan seperti katil, perabot dan bekalan air bersih.

"Sebagai tindakan awal, saya akan melihat keperluan untuk menyediakan kemudahan asrama seperti katil, bantal dan tilam. Dan, sekiranya memerlukan peruntukan yang besar, kita akan ajukan perkara ini kepada kerajaan persekutuan," jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Sukau berharap pihak kementerian berkaitan dapat merealisasikan pembinaan bangunan baru termasuk asrama di sekolah itu, yang telah dipohon sejak 2000.

Yang Dipertuanya, Azhari Haji Rangon memberitahu keperluan bilik kelas serta asrama amat mendesak berikutan peningkatan kemasukan pelajar.  "Tahun ni seramai 462 pelajar memasuki sekolah ini berbanding 398 pelajar pada tahun sebelumnya. Dengan hanya 13 buah kelas yang ada, ia tidak mampu untuk menampung bilangan pelajar yang ramai.

“Disebabkan itu juga, kelas tingkatan 1 amat sesak kerana terpaksa memuatkan lebih 40 pelajar dalam satu masa," katanya. Pada majlis itu, seramai 2,029 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Zon Sukau telah menerima bantuan wang persekolahan RM100.