Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Anggota RELA perlu berani berdepan ancaman negara

Saddi ketika berucap pada Program RELA Bersama Pemimpin dan Tabung Gaza di SMK Bukit Garam, di Kinabatangan.
Saddi menyampaikan sijil penghargaan kepada penduduk atas sumbangan dalam aspek keselamatan ketika Program RELA Bersama Pemimpin dan Tabung Gaza di SMK Bukit Garam, di Kinabatangan



Anggota Angkatan Relawan Malaysia (RELA) perlu berani berdepan ancaman semasa dan sentiasa memainkan peranan dalam memelihara keamanan negara.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata anggota itu semakin maju ke depan seiring pembangunan dan memerlukan anggota mengamalkan budaya kerja berpasukan bagi memastikan pelaksanaan transformasi dijayakan.

Katanya, semua halatuju dan matlamat seperti gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP) tidak tercapai jika keadaan politik dan negara tidak stabil, selamat dan harmoni. "Tugas RELA semakin berat kerana isu keselamatan bertambah kompleks.

Ancaman itu bukan saja menerusi serangan tentera tetapi individu yang mempunyai rangkaian dalam dan luar negara, kepakaran menggunakan teknologi dan keupayaan mempengaruhi persepsi awam menerusi penipuan, fitnah, hasutan atau manipulasi. "Atas dasar itu, memang tepat strategi RELA dalam aspek pembangunan modal insan untuk melatih dan melengkapkan anggotanya dengan ilmu untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program RELA Bersama Pemimpin dan Tabung Gaza di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, di sini, kelmarin. Hadir sama, Pengarah RELA negeri, Brigedier Jeneral Samasuddin Lawe; Pegawai Daerah Kinabatangan, Arisin Aripin; Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu dan Pegawai RELA Daerah Kinabatangan, Kolonel Amir Tjahri.

Saddi berkata, tugas dan fungsi pasukan RELA semakin meluas yang tidak hanya mencakupi aspek keselamatan malah politik, sosioekonomi dan kemasyarakatan. Katanya, dengan jumlah keanggotaan ramai melebihi 2.5 juta di seluruh Malaysia dan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat selain perbezaan latar belakang sosio budaya menjadikan RELA sebagai pasukan unik serta mempunyai pengaruh tersendiri.

"Ini sekali gus dapat memangkin negara ke arah matlamat pembentukan gagasan 1Malaysia. Selaku wakil rakyat kawasan ini juga, saya menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta sumbangan anggota RELA yang dedikasi dalam tugas mereka.

"Pembabitan RELA dalam agensi lain seperti polis, Imigresen, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya membuktikan RELA sentiasa di depan," katanya. Saddi berharap program berkenaan mampu menyuntik semangat serta dorongan lebih kuat kepada anggota RELA untuk menggerakkan gelombang sukarela khususnya di daerah terbabit.