Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Kita perlu bersatu demi kekuatan BN - Datuk Bung Moktar

Bung Moktar menyampaikan ucapan
Saddi menyampaikan ucapan
Bung Moktar (tengah) diapit oleh Saddi, Masiung Banah, Datuk Dr. Zaki dan Datuk Salleh
Bung Moktar menerima cenderhati daripada Arisin selepas merasmikan Program Tranformasi Bina Negara Peringkat Daerah Kinabatangan

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata,  rakyat di kawasan Dun Sukau sudah menggalas bentuk tranformasi yang boleh membawa banyak kemajuan mencapai negara maju di tahun 2020.

Katanya, apa yang dimanifestasikannya dengan kerjasama rakyat ini menepati sebagaimana yang dilaung-laungkan kerajaan pusat, di bawah Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya, rakyat Dun Sukau  boleh menarik nafas lega kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia mempertimbangkan beberapa keperluan rakyat  seperti menyediakan bekalan air hampir di semua kawasan,  pengeluaran geran tanah serta penyediaan pembangunan asas rakyat yang sekian lama diharapkan.

“ Saya bersyukur, sejak empat tahun lalu kita menyelesaikan banyak perkara. Kita menyediakan beberapa makmal melibatkan bidang tanah, diikuti makmal kebajikan,E Kasih, pembangunan dan yang terbaru ialah melibatkan kepentingan golongan belia. Semua sasaran ini kita berikan keutamaan.

“ Satu masa dulu, saya tidak pernah terfikir akan ada bekalan air bersih yang disalurkan terus ke Kampung Tanjung Aru melalui kabel dasar laut.

“ Kita juga memberi penarafan bintang-bintang kepada kampung-kampung di dalam Dun Sukau yang memerlukan perubahan berasaskan kedudukan ekonomi penduduknya.  Kita mahu ada jalinan usahasama antara rakyat dan para pemimpin akar umbi di kawasan ini, demi mencapai kemajuan yang diharapkan kerajaan,” katanya.

Memberikan ucapan pada Program Tranformasi Bina Negara Peringkat Daerah Kinabatangan anjuran Biro Tatanegara dengan kerjasama Pejabat Daerah Kinabatangan, Parlimen Kinabatangan,  Unit PKR Dun Sukau dan  UPKR Dun Kuamut, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) berkata, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin banyak membantu memperjuangkan kemajuan rakyat di kawasan itu.
Mensifatkan segala pencapaian itu adalah hasil kerjasama kerajaan negeri dan pusat yang turut disokong pemimpin itu, Saddi berkata, bukan satu masalah besar  kepada BN mencapai kemenangan lebih besar dalam PRU ke 13 di kawasan ini, selagi rakyat mempunyai kesedaran kuat  mempertanahkan kerajaan yang ada.

Majlis yang turut dihadiri oleh para pemimpin akar umbi dari segenap kawasan dalam Parlimen Kinabatangan itu dirasmikan Datuk Bung Moktar.

Turut hadir dan memberikan ucapan ialah Adun Kuamut, Masiung Banah dan Pengarah Biro Tata Negara Sabah, Datuk Ibrahim Saat dan Pegawai Daerah, Arisin Haji Arifin selaku Pengerusi Penganjur.

Saddi berkata,  hasrat awal beliau untuk mengujudkan Pekan Baru Sukau yang kini sudah dilancarkan pihak kerajaan negeri adalah bertujuan untuk menyalurkan pembangunan asas rakyat di kawasan persekitaran terlibat yang sekian lama ketinggalan.

Kata Saddi, dengan keupayaan kerajaan mengutip  hasil cukai perladangan kelapa sawit sebanyak RM 6 bilion setahun, adalah amat wajar  rakyat mendapat pulangan menerusi penyediaan program pembangunan di kawasan itu yang sekaligus meningkatkan ekonomi rakyat setempat.

“ Ini adalah antara contoh anjakan tranformasi yang kita laksanakan.  Saya amat menyokong seranan pihak BTN bahawa kita perlu meningkatkan kesatuan dan kerjasama untuk meneruskan kekuatan dan pembelaan kerajaan BN,” katanya.

Datuk Bung Moktar ketika menyampaikan ucapannya menggesa rakyat agar terus memnyokong kerajaan BN yang telah melakukan yang terbaik untuk kemajuan rakyat di seluruh negara.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata,  selain menyalurkan pelbagai subsidi dan bantuan membela rakyat, kerajaan BN mempunyai dasar yang jelas untuk menunaikan tanggungjawab serta perkhidmatan, berbanding pihak parti-parti pembangkang yang sentiasa mencari jalan memutarbelitkan pemikiran rakyat untuk mendapat kuasa.

“ Kita jangan mudah terpedaya dengan kata-kata pembohongan pemimpin pakatan pembangkang apalagi Anwar.  Kita perlu mengambil sikap, Ini kalilah, dalam PRU ke 13,  kita mempastikan bahawa perjuangan pembangkang akan terus berkubur, manakala BN akan kekal berkuasa, demi kebaikan rakyat,” katanya.

Datuk Bung Moktar diberikan tepukan gemuruh hadirin apabila beliau mengajak rakyat dan para pemimpin akar umbi di kawasan parlimen itu melupakan segala kekeruhan yang berlaku sebelum ini demi kekuatan dan kemenangan BN.

 “ Buang yang keruh dan kita ambil yang jernih, semua kerana sebuah kerajaan yang benar-benar berjasa kepada rakyat ini.  Kita perlu bersatu demi kekuatan BN di negara ini,” katanya.