Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Tarikh PRU-13!?...



Kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan pada pertengahan tahun ini adalah tidak mustahil dengan kelebihan yang kini jelas memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, menurut Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, terdapat beberapa perkara yang terlebih dahulu perlu diberi perhatian oleh kerajaan BN sebelum pilihan raya umum diadakan. "Dua perkara utama yang saya lihat perlu diselesaikan adalah penyelarasan tangga gaji baru kepada penjawat awam dan satu perkara lagi adalah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di papan utama Bursa Malaysia.

"Kalau dua isu itu dapat diselesaikan, bagi saya tiada lagi isu yang meruncing dan memang kemungkinan pilihan raya akan diadakan pada bulan Jun ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Tun Daim Zainuddin di dalamMingguan Malaysia semalam yang menyatakan UMNO serta Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan berbanding pakatan pembangkang.

Sementara itu, bagi Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli, tempoh terdekat ini adalah waktu paling sesuai bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengadakan pilihan raya berikutan keadaan kucar-kacir di dalam pakatan pembangkang.

"Sebenarnya terlalu banyak isu yang dihadapi oleh pembangkang yang tidak pernah selesai dan ini termasuk konflik dalaman sehingga menyaksikan Datuk Dr. Hasan Ali dipecat daripada Pas. "Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga semakin hilang kredibiliti dengan pelbagai isu bertalu-talu termasuk kenyataannya yang menyokong keselamatan negara Israel,'' katanya.

Jelas Jurit lagi, tempoh waktu ini juga sesuai bagi Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen memandangkan program transformasi yang diperkenalkan mula memberi kesan dan mempunyai potensi untuk kebaikan masa depan negara


Sumber: Utusan Online 4 Mac 2012