Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Penempatan baru mangsa banjir di Kampung Batu Puteh Kinabatangan


YB Datuk Saddi Abdul Rahman sedang meninjau kawasan tanah runtuh di Kg Menggaris


KINABATANGAN: Sebuah penempatan baru akan diwujudkan di Kampung Batu Puteh dekat sini bagi menempatkan penduduk dari kampung itu dan dari Kampung Menggaris yang terjejas banjir. Anggota Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata sebanyak 99 unit rumah akan dibina di penempatan baru itu yang akan dilengkapi kemudahan asas yang lengkap.

Kerja menyediakan tapak penempatan baru itu sedang dilakukan dan pembinaan dijangka mengambil masa setahun lagi untuk disiapkan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada lima keluarga yang diancam tanah runtuh di Kampung Menggaris dekat sini kelmarin.

Isnin lepas, tanah runtuh berlaku di kawasan bukit di belakang rumah mereka menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke rumah saudara di Kampung Batu Puteh. Saddi berkata 50 keluarga yang akan dipindahkan ke penempatan baru itu adalah dari Kampung Menggaris yang menghadapi ancaman tanah runtuh dan banjir, manakala selebihnya adalah penduduk Kampung Batu Puteh.

Lima keluarga yang berpindah akibat tanah runtuh itu adalah antara penduduk yang akan dipindahkan ke penempatan baru itu. “Sekiranya rumah yang dibina di penempatan baru itu tidak mencukupi, penduduk di kampung itu akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat di Pekan Baru Sukau,” katanya.


Sumber: www.newsabahtimes.com.my, 6 Januari 2012.

Nasib 400 orang pemilik tanah di kawasan Koyah akan terbela.

Sebahagian daripada pemilik tanah Skim Pekebun Kecil Koyah



SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, penubuhan sebuah badan koperasi mewakili kepentingan 400 orang pemilik tanah di kawasan Koyah, dalam kawasan ini yang sekian lama gagal ditangani Jabatan Tanah dan Ukur Ngeri, amat dialu-alukan.

Katanya, penubuhan badan koperasi itu membolehkan pemilik tanah terlibat menuntut 30 peratus daripada nilai saham yang telah disyaratkan kerajaan negeri kepada sebuah syarikat perladangan swasta yang diberi tanggungjawab memajukan seluas 6,000 ekar tanah  di bawah skim pekebun kecil yang diberikan kepada sejumlah pemiliknya sejak tahun 1999.

“ Kita berharap Koperasi Pembangunan Tanah Koyah Berhad yang mengadakan mesyuarat penubuhannya ini dapat menjadi wakil kepada semua 400 pemilik tanah terlibat untuk mendapatkan 30 peratus kepentingan hak mereka yang disyaratkan Jabatan Hasil Bumi kepada syarikat itu, Bagus Maju Sdn Bhd sejak 13 tahun lalu.

19 PJLK, 131 Kampung Tanpa Wayar Diwujudkan Di Sabah Setakat Ini

SANDAKAN, 21 Dis -- Pengwujudan empat Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJLK) di daerah Kinabatangan merupakan usaha kerajaan memastikan rakyat di luar bandar merasai pembangunan teknologi, komunikasi dan maklumat. Anggota Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata empat PJLK itu terletak di Pekan Kinabatangan, Kampung Sukau, Bukit Garam dan Kampung Paris Satu.

Ini merupakan antara 19 PJLK yang telah diwujudkan di negeri ini, katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pusat Komuniti Broadband anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini malam tadi.

Saddi berkata sebanyak 131 Kampung Tanpa Wayar telah siap dibina di negeri ini termasuk dua di Kinabatangan iaitu di Kampung Suan Lamba dan Kampung Paris 3. Katanya 74 kampung tanpa wayar sedang dalam pembinaan bagi memastikan lebih banyak penduduk kampung dapat menikmati perkhidmatan internet. Pada masa yang sama beliau meminta penduduk agar menggunakan kemudahan itu sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakannya.


Majlis Penyampaian Borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)



Saddi menyampaikan ucapan.


Saddi menyampaikan borang bantuan secara simbolik kepada salah seorang pemimpin akar umbi mewakili kawasan Dun Sukau, sambil disaksikan oleh Arisin (kanan sekali)

Antara penduduk yang hadir




KINABATANGAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan bantuan wang tunai rakyat 1Malaysia melibatkan wang RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah adalah bukti prihatin kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kepentingan ekonomi rakyat termasuk di luar bandar.

Beliau berkata, pemberian bantuan bagi keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 itu adalah bukti peranan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan,  selepas memberikan sokongan padu kepada BN sekian lama.

“ Bantuan ini  tidak ada kena mengena yang kita bakal menghampiri pilihanraya umum ke 13, tetapi yang jelas ianya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Ini juga membuktikan bahawa kerajaan yang ada sekarang mampu memberikan pembelaan sebaik mungkin demi untuk kebaikan rakyat di negara ini,” katanya 


Berucap semasa melancarkan Majlis Penyampaian Borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)  di Dewan Sri Lamag di sini, Saddi berkata, seluruh rakyat di kawasan ini yang berpendapatan di bawah paras yang digariskan kerajaan layak menerima bantuan itu.


Saddi melakukan lawatan di tapak projek bekalan air bersih yang bakal siap di Kampung Tanjung Aru, dengan ditemani para pemimpin masyarakat di kawasan itu.

Inilah sebahagian daripada projek penyimpanan bekalan air bersih yang disalurkan menerusi kabel dasar laut daripada Sandakan ke Tanjung Aru

Saddi merenjis sepasang mempelai sempena lawatan kerja beliau di Kampung Tanjung Aru, dalam kawasan Dun Sukau


SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, 70 peratus keperluan pembangunan rakyat di kawasan pesisir pantai dalam kawasan ini dapat ditampung apabila bekalan air dan api letrik dapat disalurkan kerajaan untuk dinikmati masyarakat nelayan terlibat.

Katanya, peluang pembangunan itu bakal terbukti dengan adanya  projek penyaluran bekalan air melalui  kabel dasar laut daripada Bandar Sandakan ke Kampung Tanjung Aru bernilai lebih RM20 juta yang sedang dalam pembinaan dan bakal dinikmati lebih 3,000 pengguna di kawasan berkenaan awal tahun depan.

 “ Sudah tentu, beberapa program pembangunan lain seperti penyediaan bekalan api letrik sehingga 24 jam kepada rakyat di kawasan ini akan menyusul, diikuti pelbagai perancangan ekonomi bersepadu atas komitmen padu kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai perhatian kepada rakyat terlibat,” katanya.

Terdahulu dari itu, Saddi meluangkan masa lebih sejam bersama kakitangan UPKR Sukau untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan melibatkan penduduk  di Kampung Tanjung Aru.


11 Disember 2011








MAJLIS BERKHATAN DI MUKIM SEPINONG


Saddi menyiram para peserta sebagai simbolik ‘menepung tawar’ mereka pada Majlis Berkhatan beramai-ramai di Mukim Sepinong pada Sabtu lepas.

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, kegagalan pemimpin akar umbi seperti Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung mendapat makluman yang jelas kerajaan menyebabkan program pemberian bantuan besar seperti 1 Azam gagal dimanfaatkan rakyat di luar Bandar.

Kegagalan mendapatkan maklumat lengkap sedemikian, katanya, berkemungkinan menjadi penyebab mengapa kawasan Dun Sukau ini belum lagi menerima bantuan di bawah program bantuan yang sudah sekian lama dilancarkan kerajaan pusat itu.

“Saya tidak menyalahkan pegawai-pegawai kerajaan di kawasan ini…Tetapi saya percaya kelemahan di peringkat pimpinan JKKK mencari dan mendapatkan maklumat-maklumat penting untuk rakyat, menjadikan program 1Azam yang disalurkan kepada banyak jabatan dan agens kerajaan gagal dimanfaatkan rakyat di kawasan ini.

“ Kerana saya berani mengatakan sehingga kini rakyat di kawasan Dun Sukau belum menerima bantuan ini. Samada ianya melibatkan Azamniaga, Azamkerja dan skim-skim yang diwujudkan di bawah program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai Mukim Sepinong, salah sebuah kawasan persisiran Pantai Kinabatangan, melibatkan 60 orang kanak-kanak di balairaya kampung berkenaan pada Ahad. Program itu dijayakan bersama Pusat Zakat Sabah (PZS) Sandakan dengan para pemimpin mukim berkenaan dengan kerjasama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sukau.

MAJLIS PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT DI LUBUKAN

Datuk Saddi menyayikan lagu Negaraku bersama Hamsan, Pg Aziz dan para hadirin.




Saddi menyampaikan ucapan.

SUKAU: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan sempadan kepada rakyat negara ini untuk mencapai apa juga kejayaan diri dan pembangunan selagi mereka berusaha dan bersatu mencapai masa depan itu.

Malah kata wakil rakyat itu, kerajaan sentiasa bersedia meningkatkan kemajuan ekonomi dan pembangunan golongan rakyat apabila mereka menunjukkan sikap berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan pada setiap musim pilihanraya yang lepas.

“ Sebagai contoh di kawasan Dun Sukau dan Kinabatangan ini, apabila rakyat telah membuktikan kesetiaannya sejak beberapa pilihanraya lalu, kerajaan tidak ada had pembangunan dan terus menyalurkan peruntukan untuk memenuhi keperluan rakyat kawasan ini.

“ Di kawasan persisiran pantai Dun Sukau, kerajaan negeri dan persekutuan mulai mengisi pembangunan meliputi keperluan bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan asas rakyat yang sudah kita kemukakan kepada kerajaan,” katanya.

Saddi berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Mukim Lubukan 2011 di Dewan Serbaguna Kampung Lubukan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Tuan Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain, Pegawai Eksekutif SESB, Amir Abdul Rahim Rahman, Penolong Pengarah JAsa Sabah, Pg. Aziz. Pg. Damsah, diikuti para pegawai mewakili Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Parol Sandakan, Jabatan Maritin Sandakan.

Saddi berkata, Gagasan 1Malaysia, berslogankan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terbuktikan memberikan tranformasi kepada pembangunan dan taraf hidup rakyat di kawasan ini.

Ini kerana, kata wakil rakyat itu, samada rakyat dan kakitangan kerajaan sentiasa berlumba-lumba untuk mencapai sasaran kemajuan dan khidmat kepada rakyat dan kerajaan, di bawah konsep gagasan itu yang memberi faedah kepada semua kaum di negara ini.

Rakyat Sabah, kata Saddi, merasa amat bertuah kerana selain berada di bawah pimpinan kerajaan pusat, negeri ini di bawah perhatian yang komited Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang terbukti membangunkan ekonomi negeri serta meningtkatkan kerjasama dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah.

Kata Saddi, suasana ekonomi serta kestabilan politik yang sihat ini harus dihayati oleh rakyat dengan terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi pada pilihanraya Umum Ke13 (PRU13) yang akan datang.

Saddi berkata, kekuatan kerajaan dan kemajuan yang ada hari ini tidak harus dinikmati rakyat dengan rasa selesa serta aspirasi dan pendekatan yang sambil lewa.

“ Sebaliknya rakyat harus mempastikan suasana ekonomi dan kemajuan ditingkatkan dengan peluang-peluang yang ada di persekitaran masing-masing.

“ Rakyat di kawasan Dun Sukau ini amat bertuah kerana boleh memanfaatkan diri dengan kemajuan pembangunan yang ada di dalam sektor seperti pelancongan, pertanian dan perladangan, diikuti sektor perikanan yang masih terbuka luas di kawasan persisiran pantai ini,” katanya.

Kata Saddi, sejak tiga tahun beliau memulakan tugas sebagai wakil rakyat kawasan ini, pelbagai perancangan pembangunan dan ekonomi rakyat sudah beliau kemukakan dan antaranya hasrat mengujudkan tapak Pekan Baru Sukau sudahpun diluluskan kerajaan dan bakal menerima pembangunan dalam masa terdekat.

“ Di kawasan persisiran ini sendiri yang bakal mendapat manfaat dari pengujudan pekan baru itu dicadangkan sebagai kawasan pertumbuhan nelayan moden dengan menerima pelbagai pembangunan berasaskan usaha menjayakan industri perikanan daripada kerajaan.

“ Sudah ada tanda-tanda mengisi perancangan ini dengan terlaksananya projek Penyaluran bekalan air bersih dari dasar laut ke Pulau Tanjung Aru yang bakal siap. Demikian juga cadangan meningkatkan kemudahan api letrik dan perumahan golongan nelayan. Jika semua ini tertunai, kita akan mampu merancang misi ekonomi itu di kawasan ini,” katanya.

Beliau menyarankan agar para pemimpin akar umbi di kawasan persisiran pantai itu sentiasa mencari jalan untuk menjana kemudahan kampung masing-masing dengan lebih pantas di bawah peranan MPS.

Haji Mohd Hamsan dalam ucapannya memberi jaminan bahawa pihak MPS akan memberikan sokongan padu kepada rancangan pembangunan di kawasan persisiran pantai Kinabatangan demi kebaikan rakyat di kawasan tersebut.

Tegasnya, kesabaran rakyat di kawasan itu akan mencapai hasil yang baik apabila mereka akan menerima program pembangunan prasarana secara berperingkat-peringkat yang dikendalikan di bawah majlis itu, sebagai sebahagian daripada pentadbir pembangunan dalam kawasan Dun Sukau.


Selesai.