SANDAKAN 10 Dis 2018 :
Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, hari ini mengumumkan menyertai
Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Saddi yang sebelum ini menjadi ADUN Bebas selepas
mengisytiharkan keluar UMNO pada Ogos lalu berkata, keputusan itu diambil
selepas tertarik dengan visi WARISAN yang dipimpin Presidennya yang juga Ketua
Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggariskan dasar perjuangan untuk
membela seluruh rakyat negeri ini.
Katanya, keputusan itu juga kerana mengambil kira faktor
pembangunan berterusan yang diharapkan rakyat khususnya di kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sukau dan beliau yakin ia mampu direalisasikan sekiranya
wakil rakyat berkhidmat dengan parti kerajaan.
“Saya sudah bertemu dengan Ketua Menteri pada Khamis lalu dan
dalam pertemuan selama dua jam di rumah beliau (Mohd Shafie), kami berbincang
mengenai apa yang diperlukan rakyat Sukau.
“Alhamdulillah, saya diterima dengan dada terbuka dan akan
serahkan borang keahlian kepada Ketua Menteri sebelum DUN bersidang pada Khamis
ini,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.