Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Serangan gajah memusnahkan mata pencarian rakyat di Litang, Kinabatangan








LITANG 20 Okt 2017 :  

Dianggarkan kira-kira 100 ekar gajah dilaporkan sedang menceroboh serta merosakkan tanaman kelapa sawit milik penduduk Kampung Litang sejak seminggu lalu, yang dipercayai mengakibatkan penduduk kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Anak Negeri (KAN) Daerah Kinabatangan, Abdul Said Abdul Karim memberitahu, gajah berkenaan yang dilaporkan bergerak dalam tiga kumpulan ini memusnahkan tanah kelapa sawit, selain pohon buah-buahan yang disauahakan penduduk, mendiami kawasan itu lebih seratus tahun lalu.

Kampung Litang yang sedang didiami lebih 40 keluarga,  berhampiran Hutan Simpan Tabin di sini  atau terletak lebih 200 km daripada Pekan Kinabatangan,  memiliki kira-kira 700 ekar ladang kelapa sawit milik penduduk,  dengan dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) lebih dua tahun lalu. Dilaporkan berjuta ringgit telah dilaburkan agensi terlibat untuk tujuan itu.

“ Ini merupakan serangan kedua haiwan dilindungi ini dalam tempoh 12 bulan.  Sebelum ini, tanaman kelapa sawit milik penduduk itu menghadapi kerugian lebih setengah juta ringgit akibat kegagalan mengawal haiwan itu yang berkampung di sini lebih sebulan,” katanya.

Abdul Said berkata,  pihak jabatan hidupan liar dari kawasan Kinabatangan juga telah dilaporkan berhubung serangan itu serta bertindak menghalau gajah berkenaan.

“ Tetapi oleh kerana serangan kumpulan gajah kali ini lebih banyak, maka kesukaran masih dihadapi oleh kakitangan terlibat untuk mengusir binatang itu ke kawasan sepatutnya,” katanya.

“ Saya antara orang yang terlibat mengasaskan tanaman ini di Litang. Tetapi apakan daya hampir semuanya telah musnah akibat dirosakkan haiwan ini,” katanya.

Kata Abdul Said, Wakil Rakyat Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman sudah dimaklumkan berhubung serangan itu dan mendesak agar jabatan hidupan liar, badan-badan Ngo dan pihak-pihak terbabit mengambil perhatian serius demi membela musbah yang dihadapi penduduk.

Sementara itu, Pemaju Mukim Litang, Japar Usof menggesa anggota beberapa kumpulan NGO yang diberi tanggungjawab oleh pihak Jabatan Hidupan Liar sebelum ini mengawasi kehidupan gajah di sekitar Kinabatangan diminta tampil membantu pengusiran hidupan liar itu ke kawasan sepatutnya.

“ Kami diberitahu, kesemua badan-badan NGO yang berkaitan dengan alam sekitar di kawasan Kinabatangan mendapat pembiayaan bukan saja dalam negara, tetapi daripada badan antarabangsa seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

“ Mereka juga (NGO) telah memainkan peranan besar dalam usaha mengagalkan pembinaan Jambatan Kedua Sukau bernilai RM73 juta yang sudah diluluskan kerajaan pusat.

“ Maka, sudah sebaiknya dengan sebahagian anggota ini telah dilantik dan dipertanggungjawabkan sebagai ‘pelindung’ (hidupan liar), maka sudah sewajarnya mereka membuktikan tanggungjawa, demi menggelakkan rakyat bertindak marah terhadap binatang ini,” katanya.

Ketua Kampung Litang, Abdul Hamad Abdul Karim menyelar pihak jabatan hidupan liar kerana bersikap ‘alang-alang’ dalam tindakan mengusir binatang terbabit.

Sepatutnya, katanya, jabatan itu yang telah menghadapi isu serangan gajah sejak sekian lama tahu mengendalikan tugas tersebut, termasuk menyediakan segala peralatan dan jentera khusus untuk tujuan itu.

“ Mereka bertindak mengusir binatang ini dengan cara lama dengan menggunakan senjata khas sahaja, termasuk turut mengharapkan pertolongan orang kampung semata-mata. Padahal banyak lagi langkah boleh dilakukan yang lebih berkesan, “ katanya sambil merujuk kepada peralatan termasuk kenderaan yang canggih sudah digunakan di luar negara untuk tujuan itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa tidak ada pihak NGO yang berperanan sebagai pelindung haiwan tersebut, tampil membantu dalam pengusiran itu sejak serangan gajah berlaku.