Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Kepentingan belia akan terus diperjuangkan - Saddi



LITANG 13 August 2017 :   

Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berazam untuk terus memperjuangkan kepentingan belia di kawasan ini, khususnya membabitkan khidmat pengurusan dan kepimpinan golongan itu dibawah  peranan kementerian terlibat.

Ahli Dewan Undangan negeri Sukau itu tetap tidak akan jemu mengetengahkan isu dan keperluan golongan tersebut kepada pihak kerajaan, khususnya demi memenuhi segala keperluan belia di Kinabatangan yang ternyata jauh ketinggalan berbanding daerah-daerah lain di Sabah.

“ Dikala kita sedang membincangkan gagasan  TN50 (Tranformasi Nasional tahun 2050), pejabat belia di Kota Kinabatangan begitu ketinggalan berbanding dengan khidmat dan peranan yang dimainkan Kementerian Belia dan Sukau Negeri di daerah lain.

“ Bayangkan betapa luasnya daerah ini yang hampir menyamai Negeri Pahang, Tetapi kita hanya ada seorang pegawai yang dalam masa sama berperanan sebagai kerani, budak pejabat dan pemandu. Pegawai ini juga tidak dibekalkan kenderaan jabatan untuk melaksanakan tanggungjawabnya di sebuah kawasan luas, tetapi dengan kenderaan sendiri sebagai seorang ketua pejabat,” katanya.

Kedudukan pegawai berkenaan kata Saddi, amat menyukarkannya untuk menggerakkan aktiviti membangunkan golongan belia di kawasan Kinabatangan termasuk di dalam Dun Sukau.

Kekangan itu telah kata wakil rakyat itu, menyukarkan program-program seperti kepimpinan belia, gotong royong dan pelbagai lagi sepertimana yang kerap dilakukan suatu ketika dulu, yang sekaligus berperanan melahirkan belia-belia berjaya dalam pelbagai bidang termasuklah bidang-bidang keusahawanan dan ekonomi belia.

“ Jadi tidak hairanlah belia di kawasan Sukau ini agak ketinggalan serba serbi,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Kepimpinan Belia Kinabatangan dua hari  yang berakhir pada Ahad di Kelab Pekerja Ladang Hap Seng di kawasan Litang di sini.

Kursus kepimpinan yang melibatkan 70 Ketua-Ketua Persatuan Belia di seluruh Kinabatangan itu dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Negeri dengan kerjasama Yayasan Sabah dan Syarikat Perladangan Hap Seng Berhad berpusat di Litang.

Saddi yang mengakui amat sedih dengan pencapaian itu berkata, beliau sudang berulang kali membawa isu kekurangan perkhidmatan Kementerian Belia dan Sukan Negeri di kawasan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri tetapi hingga kini masih belum dapat diselesaikan.

Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata,  sepatutnya kekurangan jabatan itu di Kinabatangan perlu ditangani, terutama dalam meletakkan golongan itu sebagai sebahagian asset negara, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) yang akan datang.

“ Ketika berhadapan bermacam suasana politik berkecamuk, golongan ini yang berperanan sebagai pewaris kepimpinan negara perlu diberikan perhatian cukup kerana mereka boleh beperanan sebagai agen perubahan termasuk membetulkan mereka yang terpesong oleh dakyah-dakyah politik tidak sihat,” katanya.

Turut hadir ialah Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Kawasan Timur,  Hajah Rusinah Haji Muin, Pegawai Belia Kinabatangan, Masdi Basran, PPM Sukau, Amirudin Mohd Damit, Dasran Haji Dahalan dan Ketua Anak Negeri Kinabatangan, Awang Ahmad Haji Ongkang.

Walaupun demikian kata Saddi, golongan belia terdapat di 42 kampung dalam kawasan Dun Sukau tidak harus merasa terpinggir dengan kekurangan itu. Sebaliknya membuktikan mereka berupaya berbuat seuatu demi mempertahankan kedaulatan dan kedudukan kepimpinan kerajaan hari ini.

Dengan mengambil sikap tidak berpatah semangat, kata Saddi, golongan itu perlu memandang lebih jauh dan bersikap matang ke atas pendirian dalam mempertahankan sebuah kerajaan yang berjasa dan bertanggungjawab seperti Barisan Nasional (BN).

“ Dalam kita memikirkan untuk mahu mengubahkan kerajaan yang ada sekarang, kita tentunya masih meraba-raba adakah sebuah kerajaan yang akan datang jauh lebih baik dan dapat melakukan yang terbaik sepertimana yang sudah disumbangkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saddi menggesa golongan belia di Sukau supaya bersedia membuat perancangan yang berkesan dalam menentukan soal halatuju pembangunan belia berkenaan.

Katanya, dengan prinsip yang harus bersikap focus kepada sesuatu perancangan, golongan belia perlu menyediakan flatform yang berkesan demi menggelakkan mereka menghadapi kegagalan.

“ Untuk itu, setiap perancangan itu belia mesti focus terhadap apa yang mereka inginkan. Belia boleh menyediakan Pelan A dan B, tetapi dengan perancangan yang berkesan dan focus, saya yakin mereka tidak akan gagal,” katanya.

Menyentuh mengenai kursus berkenaan, Saddi mahu program seumpamanya diadakan pada masa-masa terekat di kawasan itu bagi tujuan mengasah kepimpinan belia agar lebih mantap dalam mendepati cabaran negara di kawasan itu pada masa akan datang.

Selain menghargai sumbangan kedua-dua jabatan yang menjadi rakan strategik dalam program kepimpinan seumpama itu, Saddi turut memuji sumbangan besar yang diberikan oleh pihak swasta sebagaimana Syarikat Perladangan Hap Seng Berhad yang berpusat di Litang.


“ Inilah salah satu contoh terbaik sumbangan diberikan oleh SPHSB. Mereka bukan saja bersedia menaja tempat penginapan dan makan, tetapi kemudahan bagi menjayakan kursus ini. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi Hap Seng Berhad, “ katanya.