Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Shafie bukan pejuang UMNO pertama Sabah



Menteri MAFI, Datuk Yahya Hussin (tengah), Pengerusi KPD, Datuk Saddi Abd Rahman (dua dari kanan), Tim. Menteri MAFI, Datuk Sairin Karno (dua dari kiri), Pengurus Besar KPD, Datuk Datu Basrun (Kiri) dan Ahli Perniagaan Datuk Yap Yun Fook (kanan) bergambar bersama cendawa ketika membuat tinjauan projek tanaman cendawan di Jalan Kimanis-Keningau, Keningau, hari ini. 


KENINGAU 03 JULAI : UMNO Sabah membidas dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengaku dirinya pejuang pertama UMNO di negeri ini selepas pembubaran Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 1990. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata dakwaan itu tidak benar dan dibuat untuk mengelirukan rakyat serta menimbulkan kebencian terhadap UMNO dan pemimpinnya. 

"Kawan dari Semporna (Mohd Shafie) mendakwa beliau pejuang UMNO yang pertama di negeri ini. Itu tidak betul, bukan dia yang pertama memperjuangkan UMNO di Sabah. "Semua pemimpin UMNO Sabah yang ada sekarang, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, saya dan yang lain berjuang dalam UMNO sejak dari USNO. 

Kami semua bekas pemimpin USNO yang menjadi pejuang UMNO. "Saya sendiri pernah bertanding dalam USNO sebelum UMNO datang ke Sabah. Jadi rakyat jangan keliru dan terpengaruh dengan dakyah ini," katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau projek tanaman cendawan di Jalan Kimanis-Keningau, di sini hari ini. 

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata sikap bekas Naib Presiden UMNO itu yang mendakwa memperjuangkan hak rakyat negeri ini, juga tidak selari dengan tindakannya ketika menjadi menteri Persekutuan dan pemimpin UMNO. "Ketika dalam UMNO, dia tidak pernah jumpa kita, apatah lagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri. 

Ini menunjukkan sikapnya yang tidak menghormati pemimpin negeri," katanya. Yahya mendakwa, Shafie juga tidak pernah memaklumkan kepada pemimpin UMNO bahagian jika ada projek pembangunan luar bandar dilaksanakan di kawasan mereka ketika Ahli Parlimen Semporna itu menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.