Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Pegawai Daerah perlu lebih proaktif dalam memajukan daerah Kinabatangan





Sukau 4 Februari :  Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman meminta Pegawai Daerah Kinabatangan Yasin Nasir supaya  memainkan peranannya ‘menekankan’ potensi  Pembangunan Pekan Baharu Sukau sebagai sebahagian misi utama pembangunan Daerah Kinabatangan pada masa depan.

Katanya, pelan pembangunan itu harus dihuraikan secara bijak dan berkesan sebagai antara program pembangunan jangka pendek dan jangka panjang daerah menerusi setiap isi kandungan taklimat kepada mana-mana pemimpin tertinggi kerajaan, apalagi  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman telah menunaikan lawatan kerja beliau ke  daerah ini 4hb Febuari lalu.

“ Saya merasa kesal kerana Pegawai daerah tidak menyentuh langsung berkaitan program pembangunan Pekan Baharu Sukau pada taklimat berkenaan...padahal pekan ini telah dilancarkan sendiri oleh Ketua Menteri sendiri pada 24 Julai, 2010,” katanya.

Kata Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) menegaskan, sepatutnya projek pembangunan mega rakyat itu harus disentuh pegawai itu pada taklimat sejam kepada ketua eksekutif negeri itu, seterusnya meyakinkan pemimpin tersebut dan empat lagi menteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung masa depan pekan itu yang dirancang dibawah Pelan Pembangunan Daerah Kinabatangan sebelum ini, sebagai Pusat Pentadbiran Daerah dalam Dun Sukau menjelang tahun 2020.

Untuk rekod,  antara yang hadir pada majlis taklimat Pegawai Daerah Kinabatangan kepada Ketua Menteri sempena lawatan kerja pemimpin itu ke daerah Kinabatangan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malih, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Hajiji Haji Nor, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Presiden Parti LDP. Liew Chee Kang.

Selain kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukartii Waqiman, tiga lagi pembantu menteri berkenaan berserta setiausaha-setiausaha tetap kementerian terlibat turut serta, dikuti Ketua Pengarah ICU, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zaki Amsore Mohd Yusof.

Pada lawatan kerja itu. Saddi juga menyuarakan kekesalannya sewaktu memberi ucaptamanya kepada Datuk Seri Panglima Musa yang mengambil peluang mengadakan pertemuannya dengan rakyat Dun Sukau di Dewan Serbaguna Kampung Sukau,  selepas beliau meninjau beberapa projek pembangunan dalam kawasan Tapak Pekan Baharu Sukau iaitu Masjid Tun Juhar bernilai RM5 juta, diikuti Tapak Tamu Dun Sukau yang bakal dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar,  Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia,  Datuk Abdul Rahman Dahalan dan beberapa lagi kemudahan prasarana di sekitar Dun Sukau.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini Saddi menyifatkan sesuatu taklimat pembangunan daerah khususnya kepada Ketua Menteri itu membolehkan cadangan menjadikan pekan tersebut sebagai pusat pentadbiran daerah boleh dihuraikan  sebaik mungkin.

“ Ianya juga dapat memberikan gambaran jelas berkaitan masa depan pembangunan serta program ekonomi rakyat di kawasan strategik tersebut dengan wujudnya projek membina Jambatan Kedua Kinabatangan yang sudahpun diluluskan kerajaan pusat baru-baru ini.

Ianya akan  mempermudahkan, malah memendekkan  tempoh perjalanan antara pekan itu dengan kampung-kampung di pedalaman Sukau, seterusnya menembusi daerah-daerah di Pantai Timur Sabah seperti Lahad Datu, Semporna hingga ke Tawau berbanding ketika ini,” kata Saddi.

Selain itu, katanya, pekan itu yang menawarkan pelbagai peluang ekonomi kepada golngan muda, selain pelabur luar dan dalam negeri mampu menjana pelbagai sektor serta hiliran berasaskan pelancongan, perladangan dan pertanian, diikuti beberapa lagi bidang yang mampu memajukan daerah Kinabatangan.

Sedangkan suatu ketika dahulu, jelas Saddi, cadangan mengujudkan pekan baharu Sukau itu bukan saja dipandang serong pihak tertentu di sini dengan menyifatkannya sebagai ‘Pekan Mati’.


Tetapi ianya kurang mendapat sokongan pegawai keajaan kerajaan setempat, sehinggalah ianya dilancarkan Ketua Menteri sendiri yang mengakui ‘melihat’ masa depan potensi itu.

“ Saya percaya ketika ini,  seluruh rakyat termasuk generasi baharu dalam Dun Sukau telahpun dapat  melihat peluang dan potensi pekan ini yang pastinya akan bergantung kepada isi kandungan pelan pembangunannya untuk dihuraikan serta diterjemahkan perlaksanaannya oleh mana-manapun seorang pegawai daerah yang bertugas di Kinabatangan.

“ Saya berharap kelemahan ini dapat dpebetulkan. Tambahan lagi bukan mudah untuk kita membawa  seorang Ketua Menteri yang mengutamakan tugas dan tanggungjawabnya membangunkan Sabah,” kata Saddi.

Saddi mengulangi kritikannya kepada Jabatan Parit dan Tali Air Daerah supaya turut berkerjasama dalam menjayakan program pembangunan pekan baharu itu, sebagaimana dinyatakanya di hadapan Ketua Menteri.

“ Tanpa pembabitan pegawai Jabatan Parit dan Taliair, sudah tentu memberi masalah kepada pekan ini kelak termasuk bakal menyebabkannya banjir kelak,” katanya.

Maka pegawai itu harus sedia hadir setiap mesyuarat  Pekan Baharu Sukau dalam Mesyuarat Tindakan Daerah dan bukan ‘bersembunyi’ seperti selama ini.

Sunggupun demikian, tegas Saddi, lawatan kerja Ketua Menteri ke Dun Sukau 4 Febuari lalu, telah memberikan impak berkesan terhadap keseluruhan masa depan pembangunan Dun Sukau termasuklah cadangan mengujudkan pusat pentadbiran daerah itu pada tempoh dicadangkan.

“ Saya sendiri pada kunjungan itu akhirnya menyampaikan cadangan penting kepada Datuk Seri Musa dan dia telahpun memberikan riaksi positif termasuklah menerusi ucapan beliau kepada rakyat Dun Sukau.

Datuk Seri Musa dipetik sebagai berkata dalam ucapannya, sedia mempertimbangkan cadangan pengujudan pusat pentadbiran baharu daerah di pekan itu,  dengan meminta rakyat agar terus menyokong padu usaha-usaha kerajaan Barisan Nasional (BN), selain aktiviti pembangunan dicadangkan Saddi.


Selain memujikan usaha-usaha yang dilakukan Saddi, Datuk Musa menegaskan, apa yang dilakukan wakil rakyat itu adalah sebagaimana yang terus diarahnya kepada semua wakil-wakil rakyat di merata negeri agar mereka terus menunaikan tanggungjawab turun padang sebagai‘Yang Berkhidmat’ kepada rakyat.