Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Terapkan nilai-nilai inovatif dalam Sambutan Maal Hijrah - Saddi






SUKAU 15 OKTOBER :  Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, sudah waktunya sambutan  Maal Hijrah  diterapkan nilai-nilai inovatif dan kreatif bagi meletakkan program meraihkan sejarah penghijrahan Rasulullah SAW serta ulang tahun kalender Islam itu sentiasa seiring dengan pencapaian dan kemajuan Islam hari ini.

Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Negeri Sabah itu menegaskan, penampilan nilai-nilai inovatif samada dalam persembahan, pameran dan program-program yang diadakan dalam penganjuran tersebut mampu memaparkan nilai-nilai kemajuan masyarakat Islam yang mampu  diikuti dan dicontohi generasi ummah.

“ Kalau program Maal Hijrah seperti hari ini gagal memaparkan kemajuan-kemajuan yang diharapkan dalam segala bidang, termasuk kurang mendapat sambutan masyarakat Islam setempat, maknanya program ini tidak mampu mengangkat martabat masyarakat Islam yang sebenarnya terus memerlukan pembelaan dan perhatian,” katanya.

Berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag Kinabatangan di sini pada Khamis, Saddi berkata, kerjasama semua pihak bagi mempastikan kejayaan program tahunan di peringkat daerah yang dikenalpasti memiliki jumlah masyarakat Islam antara yang ramai di Sabah itu amat diperlukan.

Sebagai contoh, katanya, beliau mengharapkan agar jawatankuasa penganjur di peringkat daerah itu memasukkan Unit Pembangunan Masyarakat Dun Sukau sebagai salah satu anggota jawatankuasanya bagi membantu perlaksanaan penganjuran itu melibatkan keperluan tertentu.

Dengan turut memuji penampilan beberapa acara seperti persembahan tahfiz Al-Quraan mewakili sebuah badan Tahfiz yang baru diwujudkan di daerah itu, Saddi mengharapkan sekiranya pembabitan aktiviti yang melibatkan golongan belia dan remaja diperbanyakkan demi memperkasakan kesinambungan program tahun itu.

“ Golongan ini bukan saja sentiasa mengadakan program bersifat tarbiah dan dakwah yang ideal dengan mereka, tetapi mampu mempamerkan pencapaian golongan itu dari sudut ilmiah dan pendidikan, kemahiran dan sebagainya untuk menjadi ikutan golongan muda Islam di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Saddi mahukan agar sebuah sekolah menengah agama diwujudkan di daerah ini  bagi menampung keperluan pendidikan agama Islam di Kinabatangan yang belum memiliki kemudahan tersebut.

Sambil menyatakan rasa kecewanya terhadap ketiadaan kemudahan sekolah menegah agama itu, Saddi mencadangkan agar pihak Jabatan Agama Islam Daerah menyediakan dokumen lengkap bagi membolehkannya mengemukakan kepada pihak kerajaan pusat untuk mencadankan projek berkenaan di sini.

“ Kalau belum ada pihak sedia merancang dan mengemukakan permohonan ini kepada kerajaan pusat, biarlah saya sedia menjadi 'jembatannya' untuk mempastikan rakyat di Kinabatangan ini bakal memiliki sebuah kemudahan sekolah menengah agama yang setaraf dengan tuntutan pendidikan Islam hari ini,” kata Saddi sambil mendapat tepukan gemuruh  hadirin di majlis itu.

Kata Saddi, untuk meletakkan daerah itu memiliki sejumlah cendekiawan Islam di masa depan, daerah ini sewajarnya memiliki sebuah sekolah agama menengah bagi membolehkannya melahirkan generasi ilmu yang mampu melanjutkan ke pusat pengajian Islam di dalam dan luar negara.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Yassin Nasir, Penolong Pegawai Daerah Madinin Zinin,  Pegawai Jaheins Kinabatangan, Puan Dayang, Pendakwah Bebas, Malai Ali Malai Ahmad UPPM Sukau, Amirudin Mohd Damit dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di daerah itu.


Saddi juga menyarankan masyarakat Islam di daerah ini supaya mengukuhkan ukhuwah di antara mereka demi mempastikan usaha mengangkat martabat masyarakat Islam sentiasa berada di landasan yang betul.