Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Rumah PPRT menyembah bumi di Kg Buang Sayang, Suab Lamba



Perkampungan kecil nelayan ini dikenali dengan nama Kg Terusan Buang Sayang oleh penduduk sekitarnya. Dengan jumlah penduduk seramai +-65 orang serta bilangan rumah kediaman 11 buah termasuk 7 buah rumah PPRT dengan sebuah surau, perkampungan ini boleh dihubungi dengan melalui bot kurang dari 5 minit dari jeti Kg Buang Sayang.

Pada 15.05.2015 sekitar jam 9 pm sebuah rumah PPRT rebah menyembah bumi ketika air sedang pasang penuh menyebabkan 7 sekeluarga hilang tempat berteduh dengan sekelip mata.

Ketika kejadian, pemilik rumah Puan Nurah Tautu, seorang balu berumur 65 tahun bersama anak lelakinya, menantu serta 3 orang cucu berumur 1 tahun, 4 tahun dan 6 tahun baru sahaja selesai menyiapkan makan malam mereka apabila rumah tersebut dengan tiba-tiba senget sebelah dan air masuk ke dalam rumah.

Setelah bergelut beberapa ketika untuk menyelamatkan diri, mereka berjaya tanpa sebarang kecederaan ataupun kemalangan lebih buruk yang tidak diingini. Bagaimanapun beberapa barang keperluan tidak dapat diselamatkan, dan mangsa kejadian kini menumpang di rumah keluarga yang berhampiran.
Difahamkan 7 buah rumah PPRT di perkampungan ini mula dibina pada 21.10.2011 dan siap pada 13.01.2012 oleh Pejabat Daerah Kinabatangan selaku agensi pelaksana di bawah Program Bantuan Rumah (KKLW), dan rumah yang terlibat dibina oleh sebuah syarikat tempatan selaku pelaksana projek.

Hasil siasatan mendapati, kelemahan pembinaan struktur asas (foundation) rumah PPRT tersebut yang tidak kukuh merupakan faktor utama/punca kejadian (tiang rumah mendap kedalam tanah lumpur).