Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Pusat Arena Sukan wajar ditempatkan di Pekan Baharu Sukau

BATU PUTIH 21 Mac - Datuk Saddi Haji Abdul Rahman   mencadangkan agar pembinaan Pusat Arena Sukan yang telah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan Negeri, ditempatkan di Tapak Pekan Baharu Sukau, Bandar Bio Diversiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu berkata, pembinaan pusat sukan dan rekreasi belia itu amat tepat di kawasan itu kerana ianya terletak di tengah-tengah kedudukan pembangunan kawasan DUN tersebut.

“Sekiranya cadangan ini diperuntukkan kepada kawasan Dun Sukau, sebagaimana dicadangkan dalam dailog antara belia dan kementerian hari ini, maka wajarlah kemudahan itu ditempatkan di tapak Pekan Baharu Sukau.

“Lagipun kawasan tapak pekan ini masih terbuka luas dan bakal menyediakan prasarana pembangunan termasuk kepada golongan belia yang ingin terlibat dalam bidang keusahawanan serta idang-bidang berkaitan perkhidmatan, samada di peringkat kerajaan dan swasta,” katanya.

Saddi berkata demikian Pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pembangunan Belia - 9 Teras 2015 dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, YB Datuk Haji Tawfiq Datuk Haji Abu Bakar Titingan di Dewan Koperasi Pelancongan (KOPEL) Batu Putih, pada Sabtu.

Datuk Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa Sabah (KPD) berkata, pembinaan prasarana itu pastinya memberikan satu anjakan baru kepada golongan belia di seluruh Sukau kerana ketiadaan bantuan seumpamanya pernah diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Saddi, peelbagai bantuan penting masih boleh diberikan kepada golongan itu, khususnya yang berkaitan dengan usaha memajukan mereka dalam bidang perniagaan dan bidang-bidang ekonomi asas, pembangunan modal insan dan kemahiran.

“Saya percaya berapa banyak bantuan masih boleh disalurkan kepada golongan ini, asalkan samada pemimpin  peringkat kementerian ini, malah para pegawai dan golongan belia sendiri dapat melihat jelas segala kekurangan dan rintihan mereka untuk diatasi, walaupun secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Sambil menyokong usaha mendaftarkan persatuan belia di seluruh Dun Sukau dan Kinabatangan sebagai saluran menerima bantuan kementerian itu, Saddi berkata,  bidang-bidang seperti keusahawanan berasaskan pertanian, pelancongan, alam semuljadi termasuk kegiatan berkaitan sarang burung layang-layang dan banyak lagi, terus menawarkan peluang perniagaan kepada golongan tersebut.

“Yang penting, para belia perlu ada sikap merubah minda untuk sedia berubah dan memajukan diri, sanggup bersaing dan bersedia memiliki sebarang kemahiran agar dapat merubah kehidupan mereka ke arah masa depan yang terjamin,” kata Saddi.

Terdahulu dari itu, YB Datuk Haji Tawfiq ketika menyampaikan ucapannya meminta golongan belia di kawasan ini sentiasa bersama-sama dalam memberikan sokongan ke atas sebarang aktiviti kementeriannya demi kemajuan dan pembangunan masyarakat belia di Sabah.

Menteri yang berucap lebih sejam memberikan motivasi kepada belia yang terlibat bagaimana beliau mencapai kejayaannya dalam bidang perniagaan dan politik, sehingga menjawat jawatan disandangnya hari ini.

“Malah para belia boleh merasai yang lebih mencabar dan mencapai kejayaan lebih baik asalkan, kita sedia berhadapan dan mengharunginya...semua ini untuk kebaikan generasi belia dan negara yang memerlukan golongan pelapis lebih bertanggungjawab dan berkeupayaan,” katanya.