SUKAU:
Masyarakat akar umbi di sini menyuarakan desakan kepada Kerajaan negeri
supaya memulakan pembinaan Masjid Tun Juhar di sini yang dianggarkan bernilai
RM5 juta yang telah dijanjikan kepada mereka empat tahun lalu.
Menurut mereka, kegagalan dan kelewatan
menyiapkan pusat ibadat tersebut bukan memberikan imej yang buruk kepada kemasyhuran
kerajaan dan pemimpin di sebalik rancangan itu, tetapi dilihat sebagai
penghalang kepada masa depan pembangunan tapak Pekan Baru Sukau yang sudah
diluluskan kerajaan sebelum ini.
“Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin sendiri bersama Toh Puan telah turun padang
bagi menyempurnakan majlis pecah tanah masjid berkenaan tiga tahun lalu dan
dinamakan sempena nama beliau.
“Setahun sebelumnya, Ketua Menteri sendiri
sudah mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan masjid bersejarah itu.
“Namun yang sedihnya, setelah wakil rakyat
kami, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman memperolehi peruntukan tambahan RM3 juta
daripada kerajaan pusat bagi membesarkan pembinaan masjid tersebut, kemudahan
ibadah yang menjadi lambang kemajuan masyarakat Islam seiring landskap baru
ekonomi sempena kewujudan Pekan Baru ini masih belum dibina hari ini,” katanya,
kata Pengerusi JKKK Kampung Sukau, Tarsah Ahaw.