Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Datuk Saddi Hj Abdul Rahman dilantik semula sebagai Pengerusi KPD

BATU PUTEH: Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menyarankan pihak pengurusan badan pelaburan milik kerajaan negeri itu supaya lebih telus dan profesional dalam menjalankan peranan serta tanggungjawabnya secara lebih berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau itu berkata, semua pihak di peringkat pengurusan KPD perlu bersikap lebih terbuka bagi mempastikan sayap pelaburan kerajaan itu bukan saja mencatatkan keuntungan lebih baik tetapi menjadi salah satu agensi kerjaan negeri antara yang terbesar pada masa depan.

“Apa yang lebih penting, pihak pengurusan dapat menjalankan segala tanggungjawab yang telah diputuskan sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KPD. Sebagai Pengerusi KPD, saya ingin mempastikan tanggungjawab berkenaan dapat dilaksanakan demi kebaikan bersama” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran beliau di perkarangan kediaman ibu bapanya di Kampung Perpaduan, Batu Puteh di sini, Saddi berkata, masih ada beberapa keputusan penting badan ALP KPD itu masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Namun, kata Saddi ketika memasuki fasa kedua beliau dilantik semula sebagai Pengerusi agensi tersebut, beliau berharap segala permasalahan tersebut dapat diperbaiki demi kebaikan dan masa depan sayap pelaburan kerajaan negeri itu.

Saddi dilantik semula oleh Ketua Menteri sebagai Pengerusi KPD awal Jun lepas bagi memasuki panggal kedua perlantikannya sejak tahun 2011.

Ketika ini, katanya,  KPD menjalankan beberapa aktiviti  pelabuan melibatkan bidang pertanian seperti pembaiakan madu lebah dan usahsama dalam perladangan kelapa sawit dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau berharap program-program seumapama itu yang diberikan tumpuan di kawasan pantai barat dan utara dapat dikembangkan di kawasan pantai timur negeri demi memberikan peluang kepada rakyat di kawasan ini menikmati faedah daripada sumbangan ekonomi agensi itu.

“Kita mencadangkan beberapa perkara penting pada mesyuarat ALP KPD yang diadakan tidak lama lagi. Namun apa yang saya harapkan, segala keputusan mesyuarat ALP KPD  yang menjurus kepada keuntungan agensi ini, kerajaan negeri dan rakyat, dapat dilaksanakan oleh mereka yang diberi amanah,” katanya.

Beliau berharap kesatuan yang kuat di kalangan ALP dan pihak pengurusan KPD akan datang akan memberikan banyak kejayaan kepada agensi pelaburan tersebut.