Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Jabatan Air dirayu percepatkan projek bekalan air luar bandar - Saddi

Membuat lawatan mengejut ke Loji Air Menggaris


Keadaan loji air yang seakan-akan terbiar

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mendesak Jabatan Air supaya menyegerakan projek penyaluran bekalan itu ke seluruh kawasan ini menerusi kemudahan loji  dan perpaipan yang sudah siap dibina bagi mempastikan rakyat menerima kemudahan tersebut sebelum Pilihanraya Umum (PRU) 13.

Beliau berkata, rakyat khususnya yang mendiami sepanjang jalan utama Bukit Garam, Batu Putih hingga ke Paris sepatutnya sudah memperolehi bekalan berkenaan semenjak projek penyediaan loji air Kampung Menggaris serta pemasangan paip di kawasan terbabit siap sejak awal tahun ini.

“ Bagaimanapun ketika saya melakukan tinjauan mengejut ke Loji Air Menggaris kelmarin mendapati masih ada sebahagian kerja-kerja pemasangan paip utama di bahagian loji berkenaan, diikuti beberapa kerosakan kecil di bahagian peparitan di situ perlu diselanggarakan,” katanya.

Menyatakan perkara itu di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah menegaskan, kewajaran untuk rakyat menikmati bekalan itu sebelum PRU ke 13 amat sesuai memandangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah mengeluarkan peruntukan besar terhadap keperluan itu yang sekian lama dinantikan.

“ Kalau sudah rakyat sekian lama menantikannya, maka waktu yang amat sesuai mereka menerima kemudahan tersebut pada pilihanraya kali ini,” katanya.

Saddi berkata, penyediaan kemudahan bekalan  itu sudah tentu memberikan kegembiraan kepada rakyat yang menikmatinya dan dapat memperlihatkan keprihatinan besar kerajaan BN kepada rakyat.

Bagaimanapun, tegas Saddi keselahan dalam kelewatan itu bukan berpunca daripada kelemahan kerajaan tetapi pihak yang dipertanggungjawabkan gagal menyempurnakan penyediaannya sebagaimana yang diharapkan.

“ Saya berharap supaya kelemahan yang ada dapat diatasi segera dan projek penyeluran bekalan berkenaan dapat disediakan dalam tempoh yang terdekat dan ianya sekaligus akan menjadi Indeks  Petunjuk Prestasi (KPI) kepada kerajaan BN dan pimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.

Saddi kemudiaan melakukan tinjauan mesra ke atas rakyat di sepanjang Batu Putih yang menghadapi masalah kerosakan rumah untuk di atasi.

Beliau berkata, tinjauan berkenaan amat penting bagi mempastikan beberapa kelemahan di peringkat penyenaraian projek pembaikan rumah rakyat yang dilakukan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat diatasi.

“ Saya juga sudah mendapati beberapa nama di kawasan ini yang tercicir dari menerima program pembaikan rumah itu, selain projek bekalan rakyat. Namun saya akan pastikan mereka mendapat perhatian yang diperlukan,” katanya.