Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Guru disaran berkhidmat dengan lebih beretika dan berkesan


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengingatkan guru-guru menjalankan khidmat dengan penuh beretika dan berkesan, demi mempastikan kelangsungan peranan ilmu dan pendidikan di kawasan ini mencapai tahap dibanggakan.

Katanya, guru-guru perlu menjiwai khidmat mereka sebagai agen perubahan dalam menyampaikan ilmu kepada golongan pelajar dan rakyat tanpa perlu mencampuri urusan politik setempat.

“Saya katakan ini adalah secara ikhlas. Negara kita mengamalkan demokrasi. Semua individu boleh berpolitik. Tetapi kalau guru-guru ingin berbuat demikian, mereka perlu meninggalkan profesion perguruan.” katanya.

Menyampaikan perkara itu di Majlis Maulidul Rasul dan penyampaian bantuan RM100 kepada pelajar di SK Batu Putih di sini, Saddi berkata, keseriusan kerajaan memberikan kecemerlangan ilmu kepada pelajar adalah bergantung kepada sikap, peranan serta didikasi guru.


Namun matlamat sedemikian tidak akan mampu dijana, jika ada golongan dalam profsion itu bersifat ‘menggigit jari yang memberikan mereka makan’. Dan melakukan ‘sanggup melemparkan batu menyembunyikan tangan.

Saddi juga berpendapat, jika tugas guru itu banyak ditumpukan kepada aktiviti yang tidak berkaitan dengan penjanaan ilmu di sekolah, yang menjadi mangsa adalah masa depan rakyat di kawasan terlibat.

Saddi juga menegaskan, pihak kerajaan BN dan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap guru yang melibatkan diri dalam politik dan menentang kerajaan.

“Sebagai contoh, saya juga telah bertindak ke atas seorang guru yang berbuat demikian di Sekolah SK Sri Ganda dalam kawasan ini. Guru berkenaan lebih banyak membuang masanya menyenaraikan rakyat agar memberi sokongan kepada pembangkang menjelang PRU ke 13,” katanya

Namun guru berkenaan datang dari luar Sabah, kata Saddi, telah dikenakan tindakan untuk dipindahkan di luar kawasan ini perbuatannya itu.

“Namun ketika ini guru berkenaan berkeras enggan berpindah, walaupun arahan berbuat demikian telah dikeluarkan Jabatan Pelajaran Daerah dan negeri. Dan guru berkenaan terbukti masih terus melakukan perbuatannya yang merugikan masyarakat di kawasan itu,” kata Saddi yang berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada pihak kerajaan.

Saddi menasihatkan, agar sikap dilakukan guru sedemikian dihentikan demi kebaikan rakyat setenpat.“ Seorang guru umpama sebutir mutiara yang terus bersinar. Ia bukan saja seorang yang amanah menunaikan tanggungjawab. Tetapi terus berusaha melakukan yang terbaik untuk bangsanya demi kelangsungan ilmu dan pencapaian serta masa depan rakyat negara ini,” katanya.