Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

BN mempunyai banyak lagi perancangan pembangunan dan ekonomi untuk rakyat Kinabatangan




Datuk Saddi Haji Abdul Rahman berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), salah satu nikmat pemberian kerajaan Barisan Nasional (BN) yang boleh menggagalkan pengaruh dan keriar politik pembangkang di negara ini  untuk tumbang  dalam PRU13.

Adun Sukau itu  berkata, pemberian berlandaskan pembelaan serta kasih sayang oleh kerajaan kepada rakyat itu tidak mungkin dapat diganti dengan ‘gula-gula’ pembangkang bagi mengelirukan rakyat dalam kempen mereka  kali ini.

“Pemberian BRIM 2.0 jauh lebih baik daripada Perhimpunan Bersih 2.0 dan Perhimpunan Bersih 3.0 yang menganjur kepada aktiviti memburuk-burukkan pemimpin dan kerajaan. “Saya rakyat kawasan di Kinabatangan dapat membuat pernilaian mana aktiviti yang lebih menguntungkan mereka, daripada menyokong aktiviti pembangkang yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Malah kata Adun Sukau itu, pihak pembangkang tidak mungkin berupaya mengotakan janji sebagaimana dibuktikan BN yang memberikan segala kebaikan kepada rakyat berbilang kaum  sejak negara merdeka.

Berucap ketika Majlis Menyampaikan BRIM kepada lebih 4,000 orang rakyat Kinabatangan di Dewan Sri Lamag,  Bukit Garam di sini, Saddi yang juga Pengerusi Korperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berkata,  bantuan BRIM amat dihargai rakyat   termasuk kawasan ini.

Malah pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  Yassin yang memungkin bantuan itu meningkat kepada RM1,000 tahun depan, sekiranya BN memenangi PRU 13 memang ditunggu-tunggu rakyat.

Rakyat tegas Saddi, memang menyambut baik cadangan itu, berbeza dengan apa yang dibuktikan pihak pembangkang yang gagal menunaikan manifestonya walaupun berpeluang memerintah beberapa negeri.

Tetapi yang menjadi mangsa penipuan mereka, katanya, adalah rakyat yang telah diperdayakan.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokthar Radin dan Wakil Rakyat Dun Kuamut, Masiung Banah dan Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Arisin Haji Aripin.

Saddi berkata, kerajaan BN akan terus berupaya membangunkan Kinabatangan dengan pelbagai kemudahan rakyat ke arah membawa kawasan itu maju sebagaimana kawasan lain di negara ini, menjelang tahun 2020.

Dengan keupayaan kerajaan, tegasnya, menyediakan beberapa kemudahan yang amat diperlukan rakyat seperti bekalan air, api letrik dan kemudahan jalanraya serta kemudahan perumahan bagi rakyat yang memerlukan, banyak lagi kemudahan  akan disalurkan di kawasan ini.

“ Semua wakil rakyat BN di Kinabatangan dan kerajaan mempunyai banyak perancangan pembangunan dan ekonomi untuk rakyat. BN mampu menunaikannya.

“ Yang penting rakyat perlu terus memberikan sokongan dalam PRU ke 13,” katanya. Tegas Adun Sukau itu, rakyat di kawasan itu harus mengekalkan pendirian mereka untuk menyokong kerajaan BN tanpa boleh dikelirukan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Dengan menyifatkan tindak tanduk pembangkang hanya sebagai penggangu dalam setiap musim pilihanraya, kata Saddi, mereka harus membulatkan tekad menyokong BN sehingga hari pengundian kelak.

Mengenai bantuan itu, kata Saddi, ianya akan disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada lebih 26,000 dalam masa terdekat untuk mereka perolehi.