Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

Mas Idayu bakal menghangatkan Suan Lamba, Kinabatangan






Penyanyi Cintaku 100 %, Mas Idayu antara artis tanahair yang bakal menggegarkan pentas persembahan bersama rakyat di Suan Lamba,  dalam kawasan Dun Sukau di sini, sempena Penyerahan Geran Tanah kepada sekumpulan peneroka kelapa sawit di skim penempatan kerajaan negeri itu 20 Jun (Rabu) ini.

Selain beliau, Penyanyi Nadiku, Sabhi Saddi dan penghibur dan penyanyi dikenali ramai,  Ampal  (Abu Bakar Ella) akan turut tampil menemui peminatnya di kawasan itu bermula pukul 10.00 pagi hingga pukul 3.00 petang.

“ Kita jangkakan ribuan penduduk khususnya di kawasan Suan Lamba membanjiri program yang akan disempurnakan sendiri Adun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman,” kata Pemimpin Kemajuan Rakyat di kawasan itu, Shahrin Haji Abdul Rahman.

Katanya, program sehari itu akan turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti pameran perkhidmatan  oleh agensi-agensi kerajaan negeri seperti LKTNS, Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera dan beberapa lagi jabatan sebagai usaha memberikan perkhidmatan serta penjelasan kepada masyarakat setempat.

“ Kita juga akan mengadakan cabutan tiket bertuah  yang menawarkan beberapa hadiah menarik. Demikian juga acara penyampaian sumbangan sentuhan Kasih kepada golongan rakyat yang memerlukan pada majlis penyampaian geran tanah berkenaan pada kira-kira pukul 2.00 petang,” katanya.
Menurutnya, program pembahagian geran tanah kepada peneroka terlibat adalah salah satu ‘janji ditunai’ oleh Barisan Nasional (BN),  setelah hasrat tersebut  salah satu isu yang disuarakan rakyat pada pilihanraya Umum ke 12 lepas dan kini ianya ditunggu-tunggu oleh kalangan peneroka yang mampu  menggalas ‘konsep berdikari’,  dengan membayar segala hutang piutang kepada pihak kerajaan sesudah hampir 40 tahun  menduduki skim peneroka kalapa sawit berkenaan.

 “Sekurang-kurangnya usaha ini akan mendorong sejumlah besar golongan peneroka lain agar  mereka bekerja lebih gigih dengan mencontohi usaha yang telah dibuktikan para  penerima geran ini,” katanya.

Menurut Sharin lagi, kehadiran artis-artis tanahair ke majlis bersejarah itu adalah untuk menghiburkan rakyat di kawasan Suan Lamba dan Dun Sukau,  sebagai menghargai jasa dan sokongan mereka kepada Kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Mas Idayu yang merupakan pengemudi program realiti anjuran TV3, Mentor ke 3 yang mengetengahkan Penyanyi Black, bakal mendendangkan beberapa lagu popularnya di hadapan para penduduk Sukau yang menanti kehadirannya, seperti Robek Hatiku, Senggol-Sengolan Cubit Cubitan,  Goyang Bali dan banyak lagi.

“ Saya amat merasa terkejut dan gembira diundang menghibur para peminat di kawasan Dun Sukau. Walaupun ini kunjungan pertama kali, tetapi saya percaya sudah ramai mengenali lagu-lagu saya apalagi kalangan muda-mudi yang didewasakan bersamanya,” katanya ketika dihubungi dari Ibu Negara kelmarin.

Dijangkakan penampilan Mas Idayu akan lebih hangat kerana penyanyi besuara seksi ini akan dipertemukan penghibur serba boleh dari Sabah, Ampal yang pasti membuatkan penonton tidak kering gusi melihat telatahnya.

“ Saya juga yakin dengan penampilan  Nadiku, Sabhi dan artis-artis Residen Sandakan FM, Sanjawani dan D.D akan membuat persembahan. Selain mereka, sebuah kumpulan penari dari Sabah yang bakal menngkat, Kita Move juga akan membuat persembahan yang tentunya menarik perhatian para belia dalam Dun Sukau,” katanya.

Sharin menyarankan orang ramai agar hadir pada waktu yang awal bagi membolehkan mereka menyaksikan program itu secara jelas.

Sementara itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat Dun Sukau, Amirudin Mohd Damit mengesahkan lebih 3,000 penduduk sekitar dijangka hadir pada program yang julung-julung kali dianjurkan itu sebagai salah satu usaha kerajaan menunaikan janji kepada rakyat.

“Ketika ini segala persiapan sudah berjalan dengan teratur dan kita mengharapkan para penduduk di kawasan Dun Sukau bukan saja hadir menyaksikan persembahan hiburan dan aktiviti yang diadakan, tetapi mendengar mesej penting yang disampaikan oleh Datuk Saddi yang merupakan pelaksana kepada usaha menunaikan janji rakyat dari kalangan golongan peneroka itu.

“ Saya juga amat menghargai segala kerjasama awal yang sudah diberikan oleh para pemimpin masyarakat di kawasan Dun Sukau dan Suan Lamba demi mempastikan program ini berjalan dengan teratur dan licin,” katanya.