Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

BERITA SUKAN SABAH PIALA KETUA MENTERI








Berita dari Sabas.
Saddi bercakap kepada media bersama-sama Presiden Sabas, Datuk Zakaria.




SANDAKAN :




Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas), Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, tidak ada masalah untuk persatuan itu mengemukakan permohonan menjadi ahli bersekutu Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang ditawarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.


Katanya, sebagai persatuan yang memiliki ahli yang ramai mewakili Bangsa Sungai di merata negeri Sabah, Sabas mempunyai keupayaan berbuat demikian melalui permohonan rasmi yang dikemukakan kepada urusetia BN dalam masa terdekat.


“ Malah saya gembira, Presiden Sabas, Datuk Zakaria Haji Idris sudah bersetuju dengan seranan ini. Maka kami akan berbuat demikian dalam masa terdekat. Sudah tentu penyertaan Sabas memberikan kesan besar dalam mengekalkan kekuatan BN di Sabah yang merupakan antara aset kepada kekuatan kerajaan BN dalam negara,” katanya.


Bercakap kepada pihak media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kemenangan Piala Tagajoh Gayoh di Padang Bandaran di sini, Saddi berkata, 12 Ahli Dewan Undangan Negeri dan 4 Ahli Parlimen di Sabah yang mewakili Bangsa Sungai telah dan akan terus memberikan sokongan yang padu kepada BN dalam menjayakan wawasan dalam pemerintahannya di negara ini.


“ Maka sudah tentulah apabila keanggotaan Sabas diterima sebagai ahli bersekutu dalam BN, focus dan tumpuan kami wakil-wakil rakyat dalam Sabas terhadap memberikan perhatian dan pembelaan kepada masyarakat Sungai khususnya di luar Bandar yang memerlukan pembelaan akan lebih menyerlah.


“ Sebahagian mereka yang amat memerlukan pembelaan serba serbi terbukti terus memberikan sokongan kepada BN sekian lama dan selayaknya kerjasama ini mendapat pengiktirafan dari sebuah kerajaan yang kuat seperti BN,” katanya.


Sebelum itu, Presiden Sabas, Datuk Zakaria bersetuju dengan cadangan menjadi ahli bersekutu komponen BN itu dan satu persiapan akan dibuat sebelum mengemukakan permohonan ke ibu pejabat BN di Kuala Lumpur.


“Kami memang sudah sebulat suara untuk mengemukakannya kepada setiausaha BN pusat,” katanya sambil menjelaskan Sabas telah turut mempunyai peranan yang besar dalam memperkuatkan jentera BN di Sabah sebelum ini.


Zakaria menyatakan rasa gembiranya kerana Pengerusi BN itu yang juga Perdana Menteri membuka tawaran sebagai ahli bersekutu kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau Ngos, termasuk Sabas sebagai sebuah pertubuhan berasaskan bangsa berpeluang menganggotainya.
Mengenai pencapaian dalam penganjuran Liga Bolasepak Piala Tagajoh Gayoh itu, Zakaria berkata, keupayaan program itu telah berjaya merapatkan kembali jalinan kekeluargaan dalam masyarakat orang sungai dari pelbagai etnik di seluruh negeri yang menyumbangkan kepada kekuatan BN.
Selesai.