Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau


Saddi meneliti sesuatu bersama bersama Adun Tanjung Kapor, sebelum pembentangan Bajet Negeri 2010 Jumaat lepas.


Oleh Awang Ahmad (16hb November 2009)


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman menyifatkan Pengumuman Bajet Negeri 2010 bernilai RM, 304.38 juta oleh Menteri Kewangan merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman Jumaat lepas sebagai belanjawan terancang.

Beliau berkata, bajet berkenaan bukan saja berupaya memberikan pembelaan yang lebih baik kepada rakyat, tetapi menampung keperluan pihak kerajaan dan agensi-agensinya untuk mengurus kewangan negeri untuk memperolehi pendapatan yang lebih baik dalam masa yang ditentukan.

“ Saya merasa gembira bajet ini yang jelas mendahulukan kepentingan rakyat. Walaupun ianya digerakkan secara berperingkat-peringkatkan berasaskan keupayaan kewangan negeri, tetapi menerusi langkah pelaburan yang lebih baik oleh agensi-agensi dipertanggungjawabkan, ia mampu menyediakan pulangan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Mengulas Bajet Negeri yang dibentangkan oleh Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman Jumaat lepas, Saddi berkata, kakitangan kerajaan yang selama ini memberikan komitmen memajukan rakyat negeri mendapat faedah daripada bajet itu dengan elaun RM500 seorang.

Pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 menjadi RM600,000 setahun kepada peruntukan wakil-wakil rakyat, mampu memberikan dorongan khususnya tambahnilai perkhidmatan kepada kalangan rakyat yang terus memerlukan pembelaan.

“ Inilah bajet yang membuktikan keupayaan sebenar kemampuan kepimpinan Kerajaan BN di Sabah.. Datuk Seri Musa bukan saja seorang pemimpin politik yang baik. Tetapi membuktikan keupayaannya sebagai bekas ahli korporat yang berjaya dengan kemampuan mencari ruang pelaburan, selain mencorakkan pendapatan negeri mengikut kehendak dan keperluan kerajaan,” katanya.

Saddi berkata, beliau yang akan berusaha membahas bajet negeri itu hari ini, amat yakin perancangan dalam bajet itu mampu dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan kerajaan negeri dan memberikan pulangan dari segenap ruang.

Apa yang penting, kata Saddi, kestabilan politik dan ekonomi negeri terus dalam keadaan terkawal dan matlamat itu hanya akan mampu dicapai jika seorang pemimpin yang diberikan tanggungjawab beramanah, sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Panglima Musa.

“ Saya sendiri mencadangkan kepada rakyat di negeri ini akan terus memberikan sokongan padu dan keyakinan yang tinggi kepada beliau dan tidak terpedaya dengan cakap-cakap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencari kepentingan tertentu,” katanya.

Selesai.
.