Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau


Saddi menerima cenderhati daripada Awang Barin selepas merasmikan Pertandingan Juara Kugiran, Tarian Shuffle, tarik tali dan pertandingan karaoke di padang Bandaran Sandakan


PEGAWAI BELIA DAN SUKAN SABAH PERLU KOMITMEN AKTIVITI BELIA

SANDAKAN : Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman mahu pegawai-pegawai Belia dan Sukan di Sabah supaya menunjukkan komitmen mereka dalam menjayakan aktiviti belia di daerah ini ke arah kelangsungan golongan itu sebagai aset penting negara di masa depan.

Beliau berkata, keengganan pegawai-pegawai terlibat menghadiri atau berkerjasama menjayakan setiap program anjuran belia bukan saja mencerminkan pengabaian terhadap tanggungjawab yang disandarkan terhadap mereka.

“ Tetapi menunjukkan sikap meminggir golongan itu yang memerlukan pembelaan dan perhatian. Apa lagi dalam soal menentukan halatuju mereka untuk terus memberikan sokongan kepada para pemimpin kerajaan yang memerintah,” katanya.

Berucap merasmikan Pertandingan Kugiran, Tarian Shufle, Tarik Tali dan Karaoke anjuran Persatuan Belia Taman Indah di Padang Bandaran Sandakan di sini pada Ahad, Saddi melahirkan rasa kecewanya kerana tidak keenganan pegawai Belia dan Sukan Negeri di sini hadir walaupun program itu dianjurkan secara bersama dengan badan terlibat.
“ Saya amat kecewa kerana sepatutnya masalah seperti ini tidak berlaku di pusat penganjuran program ini yang diadakan di kawasan bandar. Apa alasan pegawai ini enggan hadir sedangkan komitmen mereka amat diperlukan bagi menjayakan program seperti ini,” kata Saddi kepada hampir 1,000 orang mewakili golongan belia dan ibu bapa yang hadir menjayakan program itu.

Wakil Rakyat itu berkata, samada penyertaan atau apa juga bentuk kerjasama perlu dimainkan oleh jabatan itu ke arah pemantapan aktiviti belia di daerah ini agar ianya tidak berlaku sebagaimana di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, di mana kalangan golongan itu jelas menunjukkan sikap sudah membeci dan menentang kerajaan .

Jangan sampai sikap sedemikian rupa, tegas Saddi, merebak ke negeri ini dan kerajaan tidak mendapat sokongan penuh kaum belia pada musim pilihanraya, hanya kerana sikap sebilangan pemimpin kerajaan enggan menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sedangkan tambah wakil Rakyat itu, program seperti itu bukan saja dilihat praktikal dengan kehadiran pegawai terlibat, tetapi menunjukkan semangat keprihatinan mereka terhadap golongan belia yang sentiasa memerlukan panduan.

Saddi berkata, kerajaan melalui agensi itu sepatutnya boleh menggunakan ruang penganjuran seperti itu bagi menyebarkan dasar-dasar kerajaan seterusnya, menyedarkan golongan belia tentang perlunya perpaduan sesama mereka. Ini diikuti usahapadu dalam memerangi gejala najis dadah dan masalah moral di kalangan golongan tersebut.

Dengan memuji usaha yang ditunjukkan oleh Persatuan Belia Taman Indah menerusi inisiatif ditunjukkan penasihatnya, Awang Barin, Saddi mahu kegiatan seperti itu diadakan bagi meningkatkan kerjasama golongan tersebut.

Selesai.